Jangan halang perbincangan kes Moorthy
Kenyataan media oleh Pengerusi DAP Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Tanjong Chow Kon Yeow pada Isnin, 16 Januari 2006.
——————————————————————————————————–
Zainuddin Maidin, jangan halang perbincangan mengenai isu Moorthy!
Akhbar Sunday Star (15 Januari 2006) melaporkan bahawa Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin telah menggesa akhbar supaya jangan salah tafsir kebebasan media yang terdapat dalam zaman pemerintahan Perdana Menteri sekarang.
Datuk Zainuddin Maidin berkata bahawa akhbar-akhbar tertentu telah melepasi batasan dalam memberi liputan kepada satu kes baru-baru ini yang menyentuh agama Islam.
“Mereka telah menyentuh tentang satu perkara yang sensitif yang sebelumnya tidak disentuhkan.”
Saya rasa Timbalan Menteri Penerangan tidak harus menganggap bahawa kontroversi itu sepatutnya tidak perlu dibincangkan secara terbuka. Kita perlu tahu bahawa kontroversi sedemikian akan terus muncul di masa depan melainkan ianya diatasi sekarang.
Saya ingin memberi penghargaan saya kepada media tempatan yang telah memberi ruang yang begitu banyak kepada kontroversi status agama Moorthy yang sebenarnya melibatkan isu yang lebih pokok iaitu soal bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah bertolak daripada peruntukan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Pelbagai pihak telah memberi pandangan kepada kontroversi ini termasuk jaminan daripada pihak kerajaan untuk meneliti percanggahan bidang kuasa mahkamah sehingga ada cadangan untuk meminda Perlembagaan untuk menjernihkan isu-isu yang boleh mencetus ketegangan dalam Negara yang majmuk ini.
Berbanding dengan kes S. Sharmala, kes Moorthy ini telah dapat perhatian yang luas dan saya berharap negara kita akan mengambil kesempatan ini untuk menangani isu yang penting ini dalam proses pembinaan Negara Malaysia dengan cara yang cukup matang.
Saya mendapati perbincangan mengenai isu ini dalam akhbar-akhbar tempatan dan media elektronik amat membina dan merangkumi pandangan-pandangan yang bernas dan berbeza.
Mudah-mudahan, kita tidak membiarkan isu ini melenyap begitu sahaja tanpa dicabar conscience kita untuk bertindak sebagai sebuah Negara.
Datuk Zainuddin Maidin haruslah memudahkan proses ini dan bukan menghalang satu proses mufakat di antara rakyat di Negara ini.


