Ucapan Chow Kon Yeow semasa membahas Rang Undang-Undang Perbekalan dan Anggaran Pembangunan 2007 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada 8 November 2006.

3.40 ptg.
Tuan Chow Kon Yeow [Tanjong]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Butiran 010300 Pengurusan
Perolehan Kerajaan, di mana adalah bertanggungjawab untuk memastikan perolehan kerajaan adalah
terbaik, paling menguntungkan dan diuruskan dengan cekap, tulus dan saksama. Saya ingin tahu
apakah dasar yang sedang dipakai oleh pihak kerajaan berhubung dengan syarikat-syarikat yang
boleh mendapat perolehan dari pihak kerajaan sebab baru-baru ini di Negeri Perak, Kerajaan Negeri
Perak ada menetapkan bahawa Kerajaan Negeri dan agensi-agensi diwajibkan untuk mendapat
perolehan mereka.
Dalam kes ini alat-alat tulis dari syarikat-syarikat yang mempunyai ekuiti 100% bumiputera dan
tidak membenarkan perolehan didapati melalui syarikat-syarikat yang tidak mempunyai pegangan
seperti ini. Ini satu dasar yang amat memeranjatkan dan saya rasa menyimpang dari dasar yang sedia
wujud dan sekiranya dasar ini diamalkan saya rasa ramai akan terjejas oleh dasar yang diamalkan
oleh kerajaan. Saya berharap dari segi peringkat kerajaan, dasar ini tidak dipakai.
Walau bagaimanapun, saya akan mengucapkan terima kasih sekiranya penjelasan berhubung
dengan ini dapat diberikan oleh pihak kementerian. Mengikut butir-butir yang didapati dalam buku
belanjawan ini, kementerian mendapat 350,000 permohonan pendaftaran syarikat dan firma perunding
untuk menjadi syarikat-syarikat yang membekal ataupun mendapat perolehan dari pihak kerajaan iaitu
pada tahun 2005 dan dianggarkan pada tahun 2006 dan 2007 masing-masing juga mempunyai
bilangan yang sama iaitu 355,000 firma ataupun syarikat.
Saya rasa ini satu angka yang amat besar memandangkan di dalam Suruhanjaya Syarikat pun
tidak ada begitu banyak syarikat yang didaftarkan sedangkan di dalam butir-butir ini menunjukkan
hampir 700,000 syarikat yang memohon berdaftar sebagai syarikat dan firma perunding untuk
DR 8.11.2006
74
membekalkan barang-barang kepada kerajaan ataupun Kementerian Kewangan yang mengurus
perolehan kerajaan.
Saya juga ingin membangkitkan Butiran 030200, pelaburan MKE dan penswastaan di mana
kementerian bertanggungjawab untuk menentukan kepentingan kewangan kerajaan dan pelaburan
kerajaan dalam syarikat-syarikat korporat. Saya ingin membangkitkan satu kes yang saya rasa tidak
patut berlaku iaitu Syarikat JKP Sendirian Berhad sebuah syarikat bawah Finance Ministry
Incorporated. Pada akhir tahun lepas telah memperoleh sebuah bangunan di Jalan MacAlister Pulau
Pinang daripada Amanah Capital Berhad. Bangunan itu terletak di Jalan MacAlister yang diberikan
nama Menara UMNO Pulau Pinang dan selepas ia diambil alih oleh JKP Sendirian Berhad, sebuah
syarikat yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan incorporated. Mengapa bangunan ini yang
sepatutnya dimiliki oleh JKP Sendirian Berhad masih dikenali sebagai Menara UMNO. Mengapa satu
harta benda yang dimiliki oleh pihak kerajaan ataupun anak-anak syarikat berkaitan kerajaan bolehlah
masih dianggap sebagai Menara UMNO Pulau Pinang. Saya berharap Timbalan Menteri dapatlah
memberi penjelasan terhadap perkara ini untuk membuktikan ketulusan dan amanah yang diberikan
dapat digunakan dengan sebaiknya.
Butiran 050000 – Perkhidmatan Penilaian. Tuan Pengerusi, saya sekali lagi membangkitkan
berhubung dengan Penang Outer Ring Road iaitu tanah-tanah di Changkat Delima, Island Glades,
Pulau Pinang yang perlu diambil alih untuk projek sedang dalam peringkat pengambilan tanah dan
penilaian nilai tanah-tanah yang ingin diambil alih oleh pihak kerajaan. Saya ada membangkitkan
tanah-tanah yang dimiliki oleh sebuah Syarikat Song Kota Sendirian Berhad diberi pampasan yang di
bawah nilai pasaran sebab mengikut Jabatan Perkhidmatan Penilaian Hartanah memang itulah harga
yang perlu diberi kepada syarikat sedangkan tanah-tanah yang terletak bersebelahan tanah yang
dimiliki oleh syarikat ini yang juga diambil alih untuk projek ini diberikan nilai RM100 satu kaki persegi
berbanding dengan RM50 yang ditawarkan kepada syarikat ini yang juga banyak di bawah nilai
pasaran sebanyak RM150 satu kaki persegi. Jadi saya rasa ini berlaku ketidakadilan kepada pemilikpemilik
tanah yang perlu menyerahkan tanah mereka untuk kegunaan awam. Dalam kes ini untuk satu
projek jalan raya tetapi jabatan ini tak tahu mengapa boleh memberikan satu penilaian yang jauh lebih
rendah dari nilai pasaran.
Saya juga ingin membangkitkan 020500 - Subsidi Gas Cecair, Diesel dan Petrol. Pada masa
kerajaan mengumumkan kenaikan harga, kerajaan menyuarakan hasrat untuk menggunakan
penjimatan daripada subsidi yang dianggarkan RM4.4 bilion ini untuk tujuan menaik taraf dan membaik
pulih sistem pengangkutan awam di negara ini. Saya ingin tahu dan saya melihat dalam butiran 16000
– Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam cuma RM500 juta diperuntukkan di bawah butiran
ini. ini jauh lebih rendah dari apa yang dijanjikan oleh pihak kerajaan RM500 juta berbanding dengan
RM4.4 bilion.
DR 8.11.2006
75
Jadi saya berharaplah kerajaan yang selalu melaung-laungkan kecekapan, keprihatinan
kerajaan terhadap rakyat dapatlah mengotakan janjinya kepada rakyat. Saya ingin tahu dari RM500
juta yang diperuntukkan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam, bolehkah Yang
Berhormat Timbalan Menteri memberi butir-butir terhadap bagaimana wang yang diperuntukkan di
dalam kumpulan wang ini akan digunakan dan akhirnya mengenai 022100 dan 022000 - Pemberian
Kemudahan Asas Kecil dan Pemberian Kemudahan Projek Khas masing-masing diperuntukkan RM1
bilion. Saya rasa peruntukan ini amat besar dan kemungkinan akan digunakan seperti butiran kepala
ini untuk kemudahan asas kecil dan projek khas.
Tetapi memandangkan peruntukan ini amat besar, saya berharap Yang Berhormat Timbalan
Menteri juga dapat memberi butir-butir bagaimana peruntukan ini dapat digunakan. Sebab biasanya
apabila kita lihat projek khas dan kemudahan kecil, kita dapat membayangkan ini kemungkinan
semata-mata menjadi satu tabung politik kepada Barisan Nasional mengaut sokongan di kalangan
rakyat jelata melalui projek-projek khas yang selalunya tidak dapat dipantau dengan sebaik-baiknya
oleh pihak-pihak yang lain. Jadi, saya berharap kementerian dapat memberi penjelasan terhadap
apakah butir sebenarnya di bawah pemberian kemudahan asas kecil dan juga kemudahan projek
khas. Sekian terima kasih.