Speech delivered on Monday 20 November 2006 on the NEP.
Tuan Pengerusi: Yang Berhormat bagi Tanjong.
3.30 ptg.
Tuan Chow Kon Yeow [Tanjong]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Butiran 010200 – Usahawan.
Tuan Pengerusi, satu objektif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi adalah untuk
membangunkan usahawan yang berkeupayaan untuk mengusahakan dan menguasai sekurangkurangnya
30% daripada kegiatan perdagangan dan perindustrian dalam negara menjelang tahun 2020
ke arah pencapaian masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera.
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Yusof bin Yacob) mempengerusikan Jawatankuasa]
Saya rasa ini adalah satu objektif yang amat besar yang dilaksanakan oleh kementerian ini dan
sejajar dengan prinsip kebertanggungjawaban. Sebarang dasar kerajaan perlulah terbuka untuk
pemantauan, penganalisaan ataupun kritikan-kritikan seperti mana kita dengar pada pagi ini dan juga
pada petang ini. Jadi saya berharap sebarang kritikan terhadap sebarang objektif ataupun aktiviti-aktiviti
perlulah dilihat sebagai usaha untuk mempertingkatkan prestasi kementerian untuk menjayakan
matlamat yang ditetapkan oleh kerajaan.
Saya berharap semua ini janganlah dilihat sebagai mencabar hak sesiapa pun dalam negara ini
sehingga mahu membunuh orang, bermandi darah dan sebagainya dan memberi hujah-hujah dan
kenyataan yang amat memalukan dan menjijikkan di samping menghasut dan perlulah dikritik dengan
sekeras-kerasnya sebab semua ini akan menjejaskan iklim untuk kita melakukan perniagaan di negara
ini, menjejaskan kestabilan masyarakat dan juga menjejaskan keyakinan pelabur asing dan tempatan
terhadap dasar kerajaan dan juga keberlangsungan suasana perniagaan di negara ini.
Jadi saya merujuk kepada objektif untuk membangunkan masyarakat perdagangan perindustrian
bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan dan Dasar Wawasan. Saya
berharaplah lebih usaha dapat diberikan sebab masih belum tercapai penguasaan yang diharapharapkan
dan saya rasa langkah-langkah seterusnya perlulah diambil demi mencapai matlamat ini sebab
kita sekarang ini dalam satu suasana persaingan antarabangsa yang amat sengit dan Yang Amat
Berhormat Timbalan Perdana Menteri berkata bahawa memang susah mencapai matlamat dalam masa
20 atau 30 tahun, tetapi adakah kita mempunyai 400 tahun untuk membetulkan apa yang terjadi?
Jadi dalam masa negara kita menghadapi persaingan, saya rasa kita tidak ada 400 tahun untuk
kita mencapai matlamat. Mungkin 40 tahun pun tidak ada dan saya tidak haraplah melihat akibat
daripada itu rakyat negara ini pada masa-masa akan datang pula menjadi PTI di negara-negara jiran
seperti apa yang kita lihat pada hari ini di negara kita. Jadi saya juga merasa matlamat untuk
mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera adalah baik dan haruslah
dipertingkatkan dan kita perlulah melihat wujudnya usahawan-usahawan yang dapat berdikari, sanggup
mengambil risiko menerokai pasaran yang baru, berdaya maju dan berdaya tahan, bukan sekadar
bergantung kepada handouts semata-mata daripada kerajaan.
Jadi kita ingin lihatlah kementerian ini bukan sahaja dapat mewujudkan kekayaan melalui
program-program tetapi juga sama mementingkan pengagihan kekayaan ataupun faedah yang boleh
diberikan oleh kementerian ini kepada pihak-pihak yang akan menerima manfaatnya. Jika kita lihat
semula MPBB ini, kita sering dengar kritikan bahawa golongan yang mempunyai pertalian politik sahaja
yang dilantik menjadi pengarah di dalam lembaga pengarah berpuluh-puluh syarikat dan mendapat
berpuluh-puluh AP dan kontrak-kontrak penswastaan. Jadi pengagihan ini amat penting juga. Saya
berharaplah perkara ini tidak diabaikan begitu sahaja.
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Yusof bin Yacob]: Cukup, Yang Berhormat.
Tuan Chow Kon Yeow [Tanjong]: Dan akhirnya, 00607 – Perkhidmatan Pengangkutan. Saya
cuma hendak kementerian ini memberi tumpuan khas kepada keadaan pengangkutan awam di negeri
Pulau Pinang, khususnya di sebelah pulau yang bukan sahaja tidak ada satu sistem pengangkutan bas
yang sempurna dan juga perkhidmatan teksi yang dilaksanakan satu sistem bermeter baru-baru ini pun
sudah gagal. Jadi saya berharap LPKP dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan juga
kerajaan negeri dapatlah bersama-sama bekerja untuk mewujudkan satu sistem pengangkutan awam
dan menyediakan perkhidmatan bas yang amat diperlukan di negeri Pulau Pinang. Sekian.