DR.29.3.2007 23
[Soalan No. 19 – Dato’ Haji Che Min bin Che Ahmad (Pasir Puteh) tidak hadir]
20. Tuan Chow Kon Yeow [Tanjong] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan
Koperasi menyatakan mengapa kerajaan masih gagal melaksanakan suatu sistem
pengangkutan awam termasuk perkhidmatan bas dan teksi yang efisien di negeri Pulau Pinang
dan bagaimana Tabung Pengangkutan Awam digunakan setakat ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi [Dato’ Seri Mohamed Khaled bin
Nordin]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat. Kerajaan menyedari
masalah pengangkutan awam di Pulau Pinang khususnya pengangkutan bas berhenti-henti
dan teksi. Sungguhpun kerajaan telah pun menyusun semula dan melancarkan sistem pakej
bagi meningkatkan mutu perkhidmatan bas di Pulau Pinang mulai bulan April 2006, tetapi para
pengusaha masih gagal untuk memberikan perkhidmatan yang dapat memenuhi aspektasi
orang ramai.
■ 1120
Keadaan ini berlaku disebabkan beberapa faktor seperti berikut:
(i) perkhidmatan bas tidak mematuhi sistem laluan yang telah disusun;
(ii) perkhidmatan bas tidak mengikuti jadual perjalanan dan masa yang
ditetapkan;
(iii) keadaan bas yang usang dan uzur;
(iv) amalan pajakan dan sewaan kenderaan yang tidak beretika; dan
(v) serta mematuhi syarat pelesenan kenderaan perdagangan.
Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan memutuskan untuk mengambil alih perkhidmatan
bas berhenti-henti di Pulau Pinang melalui penubuhan Syarikat Rapid Penang Sdn. Bhd. iaitu
anak syarikat Rapid KL Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan. Pada masa ini,
syarikat tersebut sedang membangunkan sistem pengangkutan awam yang baru di Pulau
Pinang dan Seberang Perai dan dijangka akan memulakan operasi pada bulan Ogos 2007.
Kerajaan juga sedar bahawa perkhidmatan teksi di Pulau Pinang masih tidak dapat
memenuhi keperluan dan kehendak orang ramai. Kementerian menerusi LPKP telah
mengeluarkan jumlah lesen teksi yang mencukupi serta memberikan kadar tambang yang lebih
tinggi kepada pengusaha teksi Pulau Pinang berbanding dengan kadar tambang teksi di
bandar-bandar utama yang lain.
Namun demikian, perkhidmatan teksi masih tidak memuaskan disebabkan beberapa
faktor seperti berikut:
(i) keengganan pemandu menggunakan meter semata-mata untuk meraih
keuntungan yang lebih; dan
DR.29.3.2007 24
(ii) sikap segelintir pemandu yang kurang beretika dan bersopan-santun
terutama semasa memberi perkhidmatan kepada pelancong.
Sehubungan dengan itu, kementerian menerusi LPKP sentiasa mengadakan kerjasama
dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia bagi menjalankan pemantauan
dan penguatkuasaan dari masa ke semasa. Sehingga ini LPKP telah membatalkan sebanyak
32 lesen teksi dan menggantung sebanyak 23 lesen atas kesalahan tidak menggunakan meter.
LPKP juga akan memperkenalkan sistem kupon perkhidmatan teksi di lokasi-lokasi yang
tertentu bagi meningkatkan perkhidmatan teksi kepada orang ramai di Pulau Pinang.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak
RM200 juta kepada Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam pada tahun ini bagi memberi
pembiayaan mudah kepada pengusaha pengangkutan awam sebagai langkah untuk
meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan kepada orang ramai. Tabung tersebut
dikendalikan melalui Bank SME dan telah pun dilancarkan pada 22 Mac yang lalu. Sehingga
kini Bank SME telah pun menerima sebanyak lapan permohonan dan kini dalam proses untuk
dibuat keputusan.
Tuan Chow Kon Yeow [Tanjong]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan
tambahan kepada Yang Berhormat Menteri. Adakah kementerian sedia untuk menjemput
badan-badan bukan kerajaan dan orang awam yang berminat bersama-sama untuk
menentukan perkara-perkara seperti laluan jadual apabila Rapid Penang memerlukan
perkhidmatan di Pulau Pinang. Saya ingin tahu daripada Yang Berhormat Menteri apakah
pengusaha-pengusaha bas awam yang kini beroperasi, apakah mereka akan terus diberi lesen
untuk mengendalikan perkhidmatan bas dan sama ada bagaimana memastikan mereka akan
gugurkan sistem pajakan yang digunakan pada masa ini yang menimbulkan pelbagai masalah.
Sekian.
Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin: Tuan Yang di-Pertua, saya percaya input
dan maklumat daripada orang ramai telah pun didapati semasa pihak kerajaan negeri melalui
Pihak Berkuasa Tempatan melaksana dan menjayakan pelan pengangkutan awam di Pulau
Pinang. Berasaskan kepada pelan pengangkutan awam itulah, maka perkhidmatan
pengangkutan awam khususnya bas di Pulau Pinang dibahagikan kepada tiga pakej.
Apabila syarikat-syarikat yang sedia ada gagal untuk memenuhi perancangan yang
dilakukan melalui tiga pakej itu yang dilahirkan berasaskan kepada pandangan NGO dan orang
ramai, maka atas sebab itulah pihak Rapid Penang diwujudkan untuk mengendalikan
perkhidmatan pengangkutan awam. Oleh itu, soal mendapat input dari segi laluan dan
sebagainya sudah berlalu iaitu sebelum pelan itu dilahirkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan
Pulau Pinang.
Keduanya apabila Rapid Penang diwujudkan dan mengendalikan pengangkutan bas
berhenti di Pulau Pinang, bas yang sedia ada masih lagi boleh terus beroperasi. Mereka akan
DR.29.3.2007 25
wujud dalam keadaan persaingan antara satu dengan yang lain tetapi sudah tentulah manamana
syarikat yang memberikan perkhidmatan yang berkesan, yang efisien dan sebagainya
akan dapat berjaya dan terus digunakan oleh orang ramai. Jadi ini merupakan satu perkara
yang perlu diambil kira oleh syarikat-syarikat tersebut. Ianya tidak bermakna apabila Rapid
Penang diwujudkan, lesen mereka dibatalkan. Itu tidak akan berlaku.
Tetapi apabila tempoh lesen mereka tamat, dalam soal mereka mohon untuk
menyambung perkhidmatan, kita akan ambil kira sekiranya mereka banyak melakukan
kesalahan, mereka lemah dalam memberi perkhidmatan apatah lagi jika didapati mereka
syarikat yang memajakkan bas dan tidak jalankan sendiri. Dalam keadaan itu, sudah tentulah
lesen mereka tidak akan diperbaharui.