Save abandoned housing projects in Penang
PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI DI PULAU PINANG
5.41 ptg.
Tuan Chow Kon Yeow [Tanjong]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-
Pertua, pada masa ini terdapat sembilan projek perumahan yang terbengkalai di negeri Pulau
Pinang yang membabitkan ribuan pembeli yang menjadi mangsa. Misalnya projek Desa Aman di
Mukim 13, Timur Laut, Pulau Pinang, blok A mengandungi 266 unit dan blok B 126 unit. Ianya
sebuah projek perumahan kos sederhana rendah yang diluluskan oleh kerajaan negeri dan
dikendalikan oleh pihak pemaju swasta. Ia sepatutnya siap pada tahun 2004 tetapi sehingga kini
projek ini masih belum disiapkan. Tambahan pula pembeli-pembeli projek ini juga dipaksa untuk
menandatangani satu perjanjian tambahan untuk membayar kerja-kerja pembaikan rumah.
Pembeli-pembeli kini terdesak kerana mereka perlu membayar ansuran pinjaman bank dan juga
DR.26.6.2007
105
sewaan rumah tetapi tidak dapat menduduki rumah yang dibeli. Apakah Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengambil tindakan atas kes ini.
Selain projek ini, projek-projek yang masih terbengkalai termasuk Majestic Heights fasa 2
dan 3 di Paya Terubung, Fettes Villa di Mount Erskine, Taman Cemerlang di Jalan Thean Teik,
Taman Pekatra Indah di Simpang Empat, Taman Kristal Blok C, Taman Suria di Nibong Tebal,
PPH Resort di Bayan Lepas, Penang Jaya di Bayan Baru dan Taman Abdullah Fahim di Kepala
Batas. Saya ingin kementerian menyatakan apakah tindakan yang sudah diambil untuk
memastikan projek-projek ini dapat disiapkan dan apakah tindakan yang sudah diambil terhadap
pemaju-pemaju yang terlibat. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat Setiausaha
Parlimen, sila.
5.43 ptg.
Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan [Dr S.
Subramaniam]: Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
mentakrifkan sesuatu projek perumahan itu terbengkalai apabila:
(i) kerja-kerja pembinaan dan pemajuan di tapak terhenti selama enam
bulan atau lebih secara berterusan sama ada di dalam tempoh masa
siap atau di luar masa siap seperti mana yang ditetapkan di dalam surat
perjanjian jual dan beli;
(ii) pemaju-pemaju mengakui tidak berupaya untuk meneruskan projek; dan
(iii) pengawal perumahan berpendapat sesuatu pemaju tidak dapat
meneruskan lagi tanggungjawab mereka sebagai pemaju.
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, Projek Desa Aman mengandungi 392 unit rumah
terdiri daripada blok A yang mempunyai 266 unit dan blok B yang mempunyai 126 unit. Projek ini
telah dikenal pasti sebagai projek terbengkalai pada pertengahan tahun 2006. Status kemajuan
setakat ini ialah 65% untuk blok A dan 30% untuk blok B. Pada masa ini projek ini masih lagi di
peringkat kajian awal dan pemaju penyelamat sedang dicari bagi meneruskan rancangan
pemulihan.
Ahli Yang Berhormat juga turut menyentuh mengenai beberapa projek perumahan
terbengkalai yang lain di negeri Pulau Pinang. Berikut adalah status projek dan usaha yang telah
diambil untuk menyelamatkan projek tersebut.
Bagi projek perumahan fasa 2 dan 3 di Taman Terubung Indah, Timur Laut oleh pemaju
Majestic Heights Sdn. Bhd. ia sepatutnya siap sepenuhnya pada tahun 2001 tetapi terbengkalai
kerana masalah kewangan. Syarikat pemaju telah digulung pada 16 Oktober 2001 dan D’Lyod
DR.26.6.2007
106
Corporation Solution Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai liquidators. Fasa 1 telah disiapkan dengan
CFO bertarikh 30 Disember 2003. Manakala Fasa 2A, 2B dan 3 hanya disiapkan sebanyak 10%
hingga 70%.
Pihak pelikuidasi telah memaklumkan bahawa pihak pembubar telah berjaya mengenal
pasti sebuah syarikat yang berminat untuk mengambil alih kerja-kerja pemulihan projek-projek
tersebut. Pihak white knight telah mengemukakan cadangan mereka untuk pertimbangkan pihak
Malaysian Building Society Bhd. selaku bank pemajak untuk projek tersebut. Sehingga kini pihak
MBSB masih lagi dalam proses rundingan dengan pihak baru tersebut untuk mencapai syaratsyarat
yang boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak.
Manakala bagi projek Taman Villa Fettes di Mount Erskine oleh pemaju Gewaris Sdn.
Bhd. ia sepatutnya siap pada tahun 1999 tetapi terbengkalai kerana masalah kewangan.
Syarikat pemaju telah digulung pada 27 Jun 2001 dan Tetuan Howard telah dilantik sebagai
pelikuidasi. Projek yang melibatkan 267 orang pembeli ini telah diserahkan kepada Syarikat
Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan SPNB memaklumkan bahawa projek tersebut masih dalam
kajian lanjutan dan lawatan ke tapak projek telah dibuat untuk meneliti keadaan terkini tapak.
Bagi projek Taman Cemerlang di Jalan Thean Teik oleh pemaju Penangan Maju Holding
Sdn. Bhd. ia sepatutnya siap pada tahun 2000 tetapi terbengkalai kerana masalah kewangan.
Syarikat pemaju telah digulung pada 17 Disember 1999 dan Jabatan Insolvensi Malaysia Pulau
Pinang telah dilantik sebagai pelikuidasi. Projek tersebut telah diserahkan kepada SPNB. MBSB
sebagai pemegang gadaian memaklumkan bahawa projek tersebut masih dalam peringkat
perbincangan dengan pihak ketiga untuk mereka mengambil alih dan seterusnya membaik pulih
projek ini.
Status bagi projek Blok C Taman Kristal di Timur Laut, projek telah disiapkan dengan
CFO pada 3 Mei 2003. Manakala bagi Taman Abdullah Fahim yang dimajukan oleh Reka Indah
Sdn. Bhd., 28 unit rumah berkembar satu tingkat telah siap dengan CFO pada 12 Mac 2004 dan
dua unit rumah berkembar satu tingkat telah siap dengan CFO pada 7 April 2004.
Begitu juga dengan Projek Mutiara Perdana fasa 2 di Bayan Lepas oleh PPH Resort
Sdn. Bhd. Projek tersebut telah berjaya disiapkan dengan CFO pada 19 April 2007. Untuk
makluman Ahli Yang Berhormat juga, Projek Penang Jaya di Bayan Baru oleh Fujasa Sdn. Bhd.
telah terbengkalai sebelum tahun 1990 dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
telah menyerahkan projek ini kepada SPNB untuk dipulihkan.
Mengikut laporan status pelaksanaan pemulihan projek SPNB sehingga 31 Mei 2007
projek perumahan ini masih lagi di bawah kajian lanjutan di mana pihak pemaju white knight telah
mengemukakan cadangan pemulihan projek kepada SPNB pada 2 Ogos 2006 dan SPNB telah
meneliti rancangan pelaksanaan pemulihan tersebut.
DR.26.6.2007
107
Berkenaan dengan projek Taman Pekatra Indah di Simpang Empat pula, projek ini
dimajukan oleh koperasi dan berada di luar bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan kerana tidak tertakluk di bawah Akta Pemajuan Perumahan 1996.
Tuan Yang di-Pertua, secara umumnya langkah-langkah yang diambil oleh kementerian
ini untuk memulihkan projek perumahan yang terbengkalai adalah seperti berikut:
(i) menasihati pembeli-pembeli yang terlibat untuk menubuhkan
jawatankuasa pembeli yang sah dan berbincang bersama
dengan kementerian bagi melantik mana-mana pihak yang
berminat untuk memulihkan projek perumahan tersebut;
(ii) berunding dengan mana-mana syarikat atau pemaju yang
berpengalaman dan berminat untuk membantu memulihkan
projek terbengkalai;
(iii) pihak kementerian akan mengumpul maklumat-maklumat yang
berkaitan dan bertindak sebagai penyelaras dengan pembiaya,
pemaju, pembeli, jawatankuasa bertindak pembeli, tuan tanah,
pegawai penerima dan pengurus, juru perunding, penyelamat,
agensi-agensi kerajaan dan Jabatan Insolvensi bagi mencari
jalan penyelesaian;
(iv) kementerian akan menahan permohonan-permohonan lesen
pemajuan perumahan daripada mana-mana syarikat perumahan
di mana pengarah-pengarah di dalam syarikat tersebut terlibat di
dalam syarikat bagi projek perumahan terbengkalai yang lain;
dan
(v) bagi memastikan pembeli-pembeli baru tidak menghadapi
masalah yang sama, kementerian akan menyenaraihitamkan
syarikat pemaju tersebut untuk permohonan lesen pemajuan
baru dan permohonan memperbaharui permit iklan dan jualan.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Urusan mesyuarat bagi hari ini telah
dapat kita selesaikan dengan ini Ahli-ahli Yang Berhormat, saya tangguhkan Dewan yang mulia
ini sehingga jam 10 pagi hari esok.
Dewan ditangguhkan pada pukul 5.51 petang.


