8hb. Mei 2008

Tuan Chow Kon Yeow (Tanjong) minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan apakah tindakan yang diambil untuk mencegah sistem pajak dalam operasi perkhidmatan bas di negeri Pulau Pinang dan apakah langkah akan diambil untuk mewujudkan sistem perkhidmatan bas yang efisien dan mapan di negeri itu.

Jawapan:
Selaras dengan peruntukan Seksyen 39 Akata LPKP 1987, pemajakan lesen, serah hak atau menyebab dan membenar mana-mana orang lain menggunakan kenderaan yang dilesenkan adalah tidak dibenarkan kecuali dengan izin Lembaga LPKP. Pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan untuk mewujudkan sistem perkhidmatan bas yang efisien dan mapan di Pulau Pinang. Antaranya:
1. Mengadakan siri perbincangan dengan pelbagai stake holder seperti kerajaan negeri, pengusaha bas, wakil persatuan dan NGO. Sehingga kini sebanyak 10 siri perbincangan telah diadakan bagi menangani masalah pengangkutan bas awam di Pulau Pinang.
2. Mengadakan perbincangan dengan Yang Berhormat selaku EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Alam Sekitar pada 17 April 2008.
3. Mengadakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan dengan agensi-agensi penguatkuasaan seperti JPJ dan PDRM termasuk MPPP dalam hal berkaitan lalulintas dan penggunaan terminal bas.
4. Tidak menimbang permohonan pembaharuan lesen bas jika terdapat saman-saman tertunggak dan bas berusia melebihi 15 tahun.
5, Menstruktur semula semua laluan mengikut sistem pajak bagi setiap pengusaha yang dilaksanakan sejak April 2006. Di samping itu, mulai 31 Julai 2007 Rapid Penang menyediakan perkhidmatan menggunakan 150 buah bas yang beroperasi di Pulau Pinang dan Seberang Perai.
6. LPKP membuat pemantauan dan auditan ke syarikat operator bas bagi menyemak rekod berhubung pengambilan kakitangan syarikat termasuk pemandu, penyata kewangan dan penyata gaji, caruman KWSP dan PERKESO.
7.Menggesa semua pihak termasuk kerajaan negeri, MPPP dan NGO untuk memberikan bukti kegiatan pemajakan bagi membolehkan kerajaan mensabitkan kesalahan pemajakan oleh operator bas.